Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 24 August 2016

Tuanku Abdul Rahman dan Sultanah Bahiyah Berkongsi Tarikh Keputeraan.

             

Tahukah anda bahawa Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan puteri baginda Almarhum Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman berkongsi tarikh keputeraan ? Baginda berdua diputerakan pada tanggal 24 Ogos. Tuanku Abdul Rahman diputerakan pada 24 Ogos 1895 manakala Sultanah Bahiyah diputerakan pada 24 Ogos 1930. Ini bermakna sewaktu Tuanku Abdul Rahman menyambut hari keputeraan baginda ke 35, puteri baginda yang diberi nama Tunku Bahiyah diputerikan hasil perkongsian hidup baginda dengan isteri baginda yang ke-3 iaitu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Tuanku Abdul Rahman dan Sultanah Bahiyah sewaktu baginda masih kecil.

Sultanah Bahiyah merupakan puteri ke-3 kepada Tuanku Abdul Rahman. Almarhum Tuanku Munawir dan Almarhum Tuanku Jaafar merupakan kekanda sebapa kepada Sultanah Bahiyah. Adinda seibu sebapa dengan Sultanah Bahiyah ialah Yang Amat Mulia Tunku Shahariah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang pernah bergelar Tunku Puan Bendahara Johor. Tuanku Abdul Rahman sempat menyaksikan puteri baginda bergelar Sultanah Kedah apabila ditabalkan pada tahun 1959. Ketika itu Tuanku Abdul Rahman bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Namun, setahun kemudian iaitu pada tahun 1960, Tuanku Abdul Rahman mangkat pada usia 65 tahun. Ketika itu puteri baginda Sultanah Bahiyah berusia 30 tahun dan baru 2 tahun bergelar Sultanah Kedah. Manakala Sultanah Bahiyah mangkat 43 tahun selepas kemangkatan ayahanda baginda iaitu pada 26 Ogos 2003 pada usia 73 tahun akibat kanser. Baginda mangkat 2 hari selepas menyambut keputeraan ke-73. Al Fatihah buat kedua Almarhum.

                            

Senyuman ayahanda dan puterinya.



Thursday, 11 August 2016

12 Ogos 1924 : Hari Keputeraan Almarhum Sultan Idris Shah.

Al - Fatihah..


DALAM KENANGAN.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris II Al-Mutawakil Allahahi Afifullah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasullah,
D.K., D.M.N., D.K.(Johor), D.K.(Pahang), D.K.(Terengganu), S.P.C.M., S.P.T.S., S.P.M.P., P.J.K., C.M.G.(United Kingdom).

Sultan Perak Darul Ridzuan Ke-33 (1963-1984)
Raja Muda Perak Darul Ridzuan (1948-1963)
Raja Bendahara Perak Darul Ridzuan (1938-1948)
Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan (1934-1938).

12 Ogos 1924 - 31 Januari 1984

Semoga ALLAH S.W.T. Mencucuri Rahmat ke atas Roh Almarhum.







Wednesday, 10 August 2016

Tuanku Intan Zaharah Tengku Omar dan Tengku Tengah Zaharah Tengku Omar.

Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan menulis mengenai dua orang wanita yang pernah menjadi suri kepada Almarhum KDYMM Tuanku Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Hal ini adalah kerana masyarakat sering terkeliru dengan identiti dua kerabat diraja ini. Masyarakat sering tertukar identiti keduanya kerana baginda berdua memiliki nama yang sama dan nama ayahanda yang sama. Ada juga pembaca yang bertanya adakah baginda berdua adik beradik kerana mempunyai nama ayahanda yang sama. Warisan Permaisuri akan memberi pencerahan mengenai hal ini. 

              
Tengku Tengah Zaharah dan Tuanku Intan Zaharah.

Dua wanita yang dimaksudkan ialah Almarhum Yang Maha Mulia Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja Omar Hitam dan Almarhum Yang Amat Mulia Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Setia DiRaja Tengku Omar. Tengku Tengah Zaharah merupakan isteri kedua Tuanku Ismail Nasiruddin manakala Tuanku Intan Zaharah merupakan isteri ketiga Tuanku Ismail Nasiruddin. 

Tengku Tengah Zaharah bersama cucunda Tengku Amira Quraishah yang merupakan kekanda Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Amat Mulia Tengku Tengah Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar diputerikan pada tahun 1911. Beliau merupakan puteri sulung kepada Yang Amat Mulia Tengku Setia DiRaja Pahang Tengku Omar Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah dan isterinya Yang Mulia Che Engku Umaiyah Binti Tun Mansur. Ayahanda Tengku Tengah Zaharah merupakan putera ke-7 kepada KDYMM Sultan Pahang Sultan Sir Ahmad Al Muazzam Shah Ibni Almarhum Dato' Bendahara Sri Maharaja Tun Ali. Tengku Tengah Zaharah berkahwin buat pertama kali pada tahun 1929 dengan Yang Amat Mulia Tengku Sri Paduka Raja Terengganu Tengku Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Pasangan ini dikurniakan 4 orang putera dan 4 orang puteri. Putera-putera terdiri daripada KDYMM Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, YAM Tengku Dato' Seri Abdul Malik Shah, YAM Tengku Ibrahim Shah dan YAM Tengku Dato' Abdullah Sulaiman Shah. Manakala puteri-puteri pula terdiri daripada YAM Tengku Zaleha Putri, YAM Tengku Nur Aziah Iman Putri, YAM Tengku Zainah Putri dan YAM Tengku Maria Norshiah Putri. Namun perkahwinan Tuanku Ismail dengan Tengku Tengah Zaharah berakhir dengan penceraian. Tengku Tengah Zaharah merupakan kekanda kepada YAM Tengku Hajah Azam yang berkahwin dengan KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah. Tengku Tengah Zaharah juga sepupu kepada Almarhum KDYMM Tengku Ampuan Afzan dimana ayahanda Tengku Ampuan Afzan iaitu YAM Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad merupakan adinda kepada ayahanda Tengku Tengah Zaharah. Tengku Tengah Zaharah mangkat pada 19 April 1979 pada usia 68 tahun, 5 bulan sebelum kemangkatan bekas suaminya Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin yang mangkat pada 20 September 1979. 

Tuanku Intan Zaharah ketika bergelar Raja Permaisuri Agong.

Yang Maha Mulia Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja diputerikan pada 13 April 1928 di Singapura. Baginda bertemu jodoh dengan Tuanku Ismail Nasiruddin pada 3 April 1944. Baginda dimahkotakan sebagai KDYMM  Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949 di Istana Maziah. Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong Ke-4 bermula tahun 1965 hingga 1970. Baginda merupakan puteri kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Sri Setia Raja Terengganu Tengku Omar Hitam Ibni Tengku Othman yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu. Selepas kemangkatan Tuanku Ismail Nasiruddin pada 1979, Tuanku Intan Zaharah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Terengganu oleh anakanda tiri baginda KDYMM Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah. Pada 1998, baginda diberi gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu oleh cucunda tiri baginda KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, dimana gelaran ini dipakai baginda sehingga kemangkatannya. Tuanku Intan Zaharah mangkat pada 24 Januari 2015 di Kuala Lumpur ketika berusia 87 tahun. Baginda dengan Tuanku Ismail Nasiruddin tidak dikurniakan dengan cahaya mata. Lagi biodata Tuanku Intan Zaharah : 

Maka, ternyata Tuanku Intan Zaharah dan Tengku Tengah Zaharah adalah dua personaliti yang berbeza. Masjid Tengku Tengah Zaharah di Terengganu mengambil sempena nama bonda kandung kepada Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah iaitu Almarhum Tengku Tengah Zaharah bukannya mengambil sempena nama Almarhum Tuanku Intan Zaharah seperti ditulis dalam wikipedia dan beberapa laman-laman lain yang menerangkan mengenai Masjid Tengku Tengah Zaharah. Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah di Dungun mengambil sempena nama Almarhum Tuanku Intan Zaharah. Al Fatihah buat kedua-dua Almarhum Tuanku Intan Zaharah dan Almarhum Tengku Tengah Zaharah.

Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah,

Tuesday, 9 August 2016

YTM Raja Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah.


Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar Perak Darul Ridzuan
Raja Dato' Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah,
D.K.A. II, S.P.C.M., S.P.M.P.

Raja Azlan Muzaffar ketika masih bayi bersama nenda Almarhum Sultan Azlan dan Tuanku Bainun.

YTM Raja Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008 di Hospital Pakar Damansara, Selangor. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim. Nenda Raja Azlan Muzaffar adalah Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Al-Maghfurlah dan YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun di sebelah keluarga ayahandanya. Manakala nenda di sebelah bondanya pula ialah YBhg Dato' Seri William Salim Davidson dan YBhg Dato' Seri Datin Sharifah Azaliah Binti Tan Sri Syed Omar Shahabuddin. 

Beruniform PDRM dengan tag nama Raja Azlan.

Raja Azlan Muzaffar menerima pendidikan di Kuala Lumpur International School. Baginda berusia 8 tahun. Setelah kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah, ayahanda Raja Azlan Muzaffar yang juga Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah telah ditabalkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak K-35. Selaku putera kepada Sultan Perak, Raja Azlan Muzaffar telah dimasukkan ke dalam senarai Raja Bergelar negeri Perak. Pada 20 Jun 2014, baginda telah diperkenankan dengan gelaran Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar Perak dan merupakan pewaris takhta ketiga negeri Perak selepas DYTM Raja Muda Perak Raja Ja'afar Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Gaya seorang putera Sultan.

Raja Azlan dan Raja Nazira Safya,

Selaku Raja Kechil Besar Perak, baginda telah dikurniakan Darjah Kerabat Azlanii Pangkat Kedua (D.K.A. II) oleh ayahanda baginda. Selain itu, baginda juga dikurniakan dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri pada 20 Jun 2014 dan seterusnya Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) juga membawa gelaran Dato' Seri pada 9 Mei 2015.

Berangkat mengiringi ayahanda mengunjungi makan Sultan Perak terdahulu.


Mengiringi nenda Tuanku Bainun ketika istiadat pertabalan.

Raja Azlan Muzaffar Shah mempunyai seorang adinda iaitu Yang Teramat Mulia Raja Nazira Safya Binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diputerikan pada  3 Ogos 2011 dan kini berusia 5 tahun. Raja Azlan Muzaffar dan Raja Nazira Safya mendapat pendidikan yang sempurna sebagai putera dan puteri Sultan. Kemunculan baginda berdua semasa istiadat pertabalan ayahanda baginda amat menarik minat rakyat jelata. Raja Azlan Muzaffar dilihat amat tertib dalam mengiringi ayahanda dan bonda ke majlis rasmi walaupun baru berusia 8 tahun. Baginda menuruti jejak langkah ayahanda baginda Sultan Nazrin yang mempunyai akhlak pekerti yang disegani. Nama baginda diambil bersempena nama nenda baginda, Sultan Azlan Shah yang merupakan seorang Raja cendekiawan dan ilmuan dalam bidang perundangan. Semoga YTM Raja Azlan Muzaffar Shah berada dalam lindungan Allah S.W.T. selalu dan diberi kerahmatan dari-Nya.


Ketika hari pertabalan ayahanda baginda.

Bermain bersama adinda tersayang.


Ketika Istiadat Menjunjung Duli.

Bersama ayahanda, bonda dan adinda.

Raja Azlan dipangku oleh Almarhum nenda Sultan Azlan Shah.

Raja Kechil Besar Perak ketika Pertabalan Sultan Perak.


Membuat mimik muka sambil adinda Raja Safya ketawa.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...