Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 31 March 2020

Permaisuri Warisan YAM Tunku Besar Burhanuddin.

YAM Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah.

Tentu anda tidak mengenali siapakah pemilik potret di atas ini. Dan apakah hubungan pemilik potret ini dengan Permaisuri yang pernah bertakhta di negara kita ini. Baginda ialah Yang Amat Mulia Almarhum Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah, CMG. Baginda merupakan putera kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan dilantik sebagai Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, salah satu jawatan daripada Putera Yang Empat untuk tempoh yang amat lama. Baginda juga merupakan ayahanda kepada dua orang Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, ayahanda kepada 3 orang Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan dan juga nenda kepada seorang Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Tunku Besar Burhanuddin diputerakan pada 22 September 1878 dan merupakan putera kedua kepada Almarhum Tuanku Antah Ibni Almarhum Tuanku Nasiruddin dan Encik Puan Besar Cik Halimah Binti Uggoh. Baginda telah berkahwin sebanyak dua kali.

Tunku Besar Burhanuddin bersama putera baginda Tunku Mustapha, puteri baginda Tunku Kurshiah dan Tunku Najihah serta cucunda baginda Tunku Shahariah (puteri Tunku Kushiah).


Pertamanya dengan Almarhumah Tunku Sharifah Alawiyah Binti Sayyid Abdul Hamid. Pasangan ini dikurniakan 6 Putera dan 4 Puteri. Dua orang puteri baginda iaitu YM Tunku Kursiah Tunku Besar Burhanuddin dan YM Tunku Durah Tunku Besar Burhanuddin telah menjadi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan dan puteri sulungnya iaitu Tunku Kursiah menaiki takhta kerajaan Persekutuan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama pada tahun 1957. Kali keduanya baginda berkahwin dengan Cik Halijah Binti Haji Umar. Perkahwinan kedua baginda dikurniakan 3 putera dan 2 puteri. Puteri bongsu baginda bersama Cik Halijah iaitu YM Tunku Najihah menjadi DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Ke 10 dan ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke 10 pada tahun 1994. Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada 5 Julai 1961 di Istana Baroh. Baginda berusia 83 tahun ketika itu. Sebelum kemangkatan baginda, baginda sempat melihat puteri baginda Tuanku Kurshiah dan Tuanku Ampuan Durah menduduki takhta Negeri Sembilan. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda YAM Tunku Bahiyah menaiki takhta negeri Kedah sebagai KDYMM Sultanah Kedah pada tahun 1958. Baginda dimakamkan di Makan Diraja Seri Menanti.

Semenjak tahun 1933 hingga 2008, selama 75 tahun, ketiga-tiga orang Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan adalah puteri Tunku Besar Burhanuddin. Selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Jaafar pada tahun 2008, cucunda baginda DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, anakanda kepada puteri baginda Almarhumah Tuanku Ampuan Durah menaiki takhta Negeri Sembilan. Maka, berakhirlah legasi Permaisuri warisan Tunku Besar Burhanuddin apabila DYMM Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud ditabalkan sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan. 

Puteri Sulung Tunku Besar Burhanuddin : 


Almarhumah Yang Maha Mulia Tunku Puan Besar Kursiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K., D.M.N., S.M.N., D.K.(Kedah). 

Almarhumah Yang Maha Mulia Tunku Puan Besar Kursiah berkahwin dengan sepupu baginda sendiri iaitu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada tahun 1929 sebagai isteri ketiga. Almarhum Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah merupakan kekanda sulung kepada Tunku Besar Burhanuddin. Tunku Puan Besar Kurshiah menjadi Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1933 sehingga tahun 1960. Baginda menjadi Tunku Ampuan Besar pada usia yang agak muda iaitu 22 tahun. Baginda bergelar Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan selama 27 tahun sehingga kemangkatan suami baginda pada tahun 1960. Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu antara tahun 1957 hingga 1960. Ayahanda baginda, Tunku Besar Burhanuddin sempat melihat puteri dan menantu baginda menaiki takhta Persekutuan yang baru dibentuk pada tahun 1957. Selepas kemangkatan suami baginda pada tahun 1960, Tuanku Kurshiah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Puan Besar Kurshiah dan merupakan kekanda ipar kepada 2 orang Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Almarhum Tuanku Munawir dan Almarhum Tuanku Jaafar. Tuanku Kurshiah juga bonda kepada KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Hajah Bahiyah yang juga Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-5 dan bonda mertua kepada Almarhum KDYMM Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah. Seorang lagi puteri baginda, YAM Tunku Hajah Shahariah berkahwin dengan putera DYMM Sultan Johor Sultan Ismail Sultan Ibrahim iaitu Almarhum YAM Tunku Bendahara Tunku Abdul Rahman Sultan Ismail. Tunku Puan Besar Kurshiah mangkat pada tahun 1999 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti. 

Puteri Tunku Besar Burhanuddin : 


Almarhum Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Durah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K., S.P.T.J.

Almarhumah Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Durah berkahwin dengan Almarhum Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang merupakan putera sulung kepada abang iparnya iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Ini bermakna Almarhum Tuanku Munawir berpangkat anakanda saudara kepada Tunku Ampuan Durah. Tuanku Munawir juga merupakan anakanda tiri kepada kekanda sulung Tunku Ampuan Durah iaitu Tunku Puan Besar Kursiah.  Ini bermakna Tuanku Munawir adalah cucunda saudara Tunku Besar Burhanuddin memandangkan nenda Tuanku Munawir adalah Almarhum Tuanku Muhammad, kekanda Tunku Besar Burhanuddun tetapi dalam masa yang sama juga Tuanku Munawir merupakan menantu Tunku Besar Burhanuddin. Tunku Ampuan Durah berkahwin dengan Tuanku Munawir pada tahun 1940 dan menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1960 ketika berusia 38 tahun. Namun, baginda menduduki takhta Negeri Sembilan hanya selama 7 tahun apabila suami baginda mangkat  pada tahun 1967 ketika berusia 45 tahun. Tunku Besar Burhanuddin hanya sempat melihat puterinya menjadi Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan selama setahun sahaja kerana baginda mangkat pada tahun 1961. Selepas kemangkatan suami baginda, Tuanku Ampuan Durah diberikan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Durah oleh adinda ipar baginda DYMM Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Jaafar Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Baginda mangkat pada tahun 1999 ketika berusia 77 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Seri Menanti. Satu-satunya putera baginda iaitu DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke 11 pada tahun 2008 menggantikan Almarhum Tuanku Jaafar.

Puteri Bongsu Tunku Besar Burhanuddin : 


Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K., D.M.N., D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), S.P.T.J., S.P.M.K., Grand Cordon of the Royal Order(Cambodia), Dame Grand Cross of the Order of Civil Merit (Spain), Order of the Nile (Egypt), Order of the Virtues(Egypt).

Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin berkahwin dengan putera kedua Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad iaitu Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Tuanku Jaafar merupakan adinda kepada Almarhum Tuanku Munawir. Pada masa yang sama juga Tuanku Jaafar berpangkat anakanda saudara kepada Tuanku Najihah. Ini bermakna, Tuanku Jaafar juga merupakan cucunda saudara kepada Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Tuanku Najihah mendirikan rumah tangga dengan Tuanku Jaafar pada tahun 1942 ketika berusia 18 tahun. Selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir pada tahun 1967, Tuanku Jaafar dipilih untuk menggantikan Almarhum sebagai Yang Di-Pertuan Besar yang baru. Maka, Tuanku Najihah menjadi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan menggantikan kekandanya Tunku Ampuan Durah pada tahun 1967. Baginda menjadi Tunku Ampuan Besar pada usia 43 tahun. Baginda meneruskan legasi puteri Tunku Besar Burhanuddin menjadi Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan daripada kekanda-kekandanya. Baginda menduduki takhta Negeri Sembilan selama 41 tahun sehingga kemangkatan suami baginda pada tahun 2008. Tuanku Najihah juga berkhidmat sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Kesepuluh pada bermula tahun 1994 sehingga 1999.  Selepas kemangkatan suami baginda pada tahun 2008, anakanda saudara baginda, DYMM Tuanku Muhriz yang juga putera tunggal kekanda baginda Almarhum Tunku Ampuan Durah telah menaiki takhta Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz telah mengurniakan gelaran Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan kepada Tuanku Najihah. Kini, pada usia 96 tahun, baginda bersemayam di Istana Salatin, Seremban Negeri Sembilan.

Cucunda Tunku Besar Burhanuddin : 


Almarhumah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman,
D.K.,D.K.H.,D.M.N.,D.K.(Kelantan),D.K.(Negeri Sembilan),D.K.(Johor),S.P.M.K.,Grand Cordon Of The Order of The Sacred Treasure(Japan),Grand Cordon Of The Most Illustrious Order Of Chula Chom Klao(Thailand),Grand Cordon Of The Star Of Mahaputra 1st Class(Indonesia),Grand Cordon Of The Orders Of The Pleiades 1st Class(Iran).

Almarhumah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan cucunda kepada YAM Tunku Besar Burhanuddin. Diputerikan sebagai YAM Tunku Bahiyah, baginda merupakan seorang puteri berdarah diraja Negeri Sembilan sepenuhnya. Baginda merupakan puteri sulung Almarhum Tunku Puan Besar Kursiah dan Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Baginda berkahwin dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Tunku Abdul Halim Ibni Sultan Badlishah pada tahun 1956 ketika berusia 26 tahun. Pada tahun 1958, ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Badlishah mangkat dan suami baginda menaiki takhta negeri Kedah dan bergelar  KDYMM Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Maka, Tunku Bahiyah  menjadi KDYMM Sultanah Kedah Sultanah Bahiyah pada tahun 1958. Seperti bonda baginda, Sultanah Bahyah menaiki takhta pada usia yang agak muda iaitu 28 tahun. Baginda bergelar Sultanah Kedah selama 45 tahun sehingga 2003. Nenda baginda, Tunku Besar Burhanuddin sempat melihat cucunda baginda berkahwin pada tahun 1956 dan juga ditabalkan sebagai Sultanah Kedah pada tahun 1959. Sultanah Bahiyah juga menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke 5 pada tahun 1970 hingga 1975. Sultanah Bahiyah menjadi Sultanah Kedah sehingga kemangkatan baginda pada tahun 2003 akibat kanser pada usia 73 tahun, 4 tahun selepas kemangkatan bonda baginda pada tahun 1999. Baginda dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Alor Star Kedah.

5 orang Permaisuri di dalam gambar ini adalah keturunan Tunku Besar Burhanuddin. 
Puteri-puteri baginda: Tuanku Najihah (4 dari kiri), Tunku Ampuan Durah (2 dari kanan) dan Tunku Puan Besar Kurshiah (kanan sekali).
Cucunda baginda: Tunku Shahariah (kiri sekali) dan Tuanku Bahiyah (3 dari kanan).

Tunku Puan Besar Kurshiah dan Tunku Ampuan Durah.

Tunku Puan Besar Kurshiah bersama puteri baginda Sultanah Bahiyah dan cucunda baginda Tunku Puteri Intan Safinaz.

Tunku Puan Besar Kurshiah bersama Tunku Ampuan Durah dan Tunku Shahariah.


Tunku Ampuan Durah dan Tuanku Najihah.

Tuanku Najihah dan Tunku Ampuan Durah semasa santapan sempena  Keputeraan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar.

Tuanku Najihah yang ketika itu bergelar Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan bersama anakanda saudara baginda Tuanku Bahiyah yang ketika itu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Tuanku Najihah dan kekanda baginda Tunku Puan Besar Kurshiah.

Tuanku Najihah dan anakanda saudara baginda Sultanah Bahiyah.


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...