Anda Pengunjung Ke :

Friday 6 December 2013

Almarhumah Raja Perempuan Zainab I

Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab I, D.K.(Kelantan).

Kepada penduduk negeri Kelantan sudah pasti sering mendengar nama Jalan Sultanah Zainab atau Sekolah Perempuan Zainab yang terletak di Kota Bharu Kelantan. Tapi pasti ramai di antara kita kurang mengenali siapakah gerangan pemilik nama Sultanah Zainab ini. Pasti ada juga di antara kita yang terkeliru di antara 3 Permaisuri Kelantan yang bernama Zainab iaitu Almarhumah Sultanah Zainab Binti Wan Muhammad Amin, Almarhumah Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Zainal Abidin atau Raja Perempuan Zainab I dan juga Almarhumah Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra yang merupakan Raja Permaisuri Agong ke 6 atau dikenali sebagai Raja Perempuan Zainab II. Pada kali ini, Warisan Raja & Permaisuri Melayu akan bercerita mengenai Raja Perempuan Zainab I iaitu suri kepada Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. 

Diputerikan sebagai Yang Mulia Tengku Zainab Binti Tengku Zainal Abidin pada tahun 1897 di Kota Bharu. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia Tengku Long Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Muhammad III yang pernah menjadi Raja Muda Kelantan dengan isteri baginda Yang Amat Mulia Tengku Besar. Ayahanda Sultanah Zainab merupakan putera ke 3 kepada Al Sultan Kelantan Sultan Muhammad III Ibni Almarhum Sultan Ahmad yang memerintah Kelantan pada tahun 1890 - 1891. Ayahanda baginda merupakan adinda kepada ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Muhammad IV. 

Sultanah Zainab bersama besan baginda DYMM Sultan Hisamuddin, menantu baginda Tengku Zainab dan cucunda baginda Sultan Ismail Petra semasa Istiadat Pemakaman Sultan Ibrahim tahun 1960.

Raja Perempuan Zainab I merupakan bonda saudara kepada YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Ibni Almarhum Tengku Muhammad Hamzah. Baginda merupakan kekanda kepada YBM Tengku Muhammad Hamzah Ibni Tengku Zainal Abidin. Baginda Sultanah Zainab juga merupakan bonda saudara kepada bonda Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid iaitu YBM Tengku Hajah Azizah Binti Tengku Muhammad Hamzah. Ini secara tidak langsung menjadikan Raja Perempuan Zainab I nenda saudara kepada Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.


Raja Perempuan Zainab I mendirikan rumah tangga dengan KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada 6 Julai 1914 ketika berusia 17 tahun. Sultan Ibrahim (yang ketika itu bergelar Tengku Sri Indera Mahkota Tengku Ibrahim) merupakan sepupu kepada Sultanah Zainab. Pada hari perkahwinan baginda, Raja Perempuan Zainab I telah diberikan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Embong. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Balai Besar Kota Bharu.

Almarhum Tengku Indra Petra Tengku Tan Sri Abdullah & Tengku Puan Bendahara Tengku Thuraya.

Baginda dikurniakan sepasang cahaya mata. Putera tunggal baginda ialah Yang Teramat Mulia Tengku Besar Indra Petra Tengku Tan Sri Abdullah Ibni Sultan Ibrahim yang diputerakan pada tahun 1916. Tengku Indra Petra pernah menjadi Raja Muda Kelantan namun dilucutkan jawatan kerana sebab-sebab tertentu. Tengku Indra Petra kemudiannya menyertai politik dan menjadi Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan pengasas UMNO di negeri Kelantan dan pernah dilantik memangku jawatan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Puteri baginda pula ialah Yang Amat Mulia Tengku Puan Bendahara Selangor Tengku Thuraya Binti Almarhum Sultan Ibrahim yang telah berkahwin dengan Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. 

Raja Perempuan Zainab I sewaktu muda.


Baginda menaiki takhta negeri Kelantan sebagai Raja Perempuan pada hari Kemahkotaan suami baginda sebagai Sultan Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada tanggal 25 Oktober 1944 di Istana Balai Besar. Baginda memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab, D.K. Baginda menjadi Raja Perempuan Kelantan selama 16 tahun sehinggalah kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Anakanda tiri baginda Tengku Yahya Petra dilantik menjadi Sultan Kelantan dengan bergelar KDYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda KDYMM Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1979 setelah kemangkatan Sultan Yahya Petra. Raja Perempuan Zainab I mangkat pada 28 September 1985 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan. Al Fatihah untuk baginda.

Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Zainab I. 

3 comments:

  1. well, Sultanah Zainab ialah Almarhum Nik Zainab, isteri kpd Sultan Mohd 4. kerana permaisuri dr kalangan org keluaran, gelaran Sultanah diberikan secara rasmi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada tiga nama "Zainab" yang merupakan isteri kepada Sultan-Sultan Kelantan terdahulu.

      1) Nik Zainab binti Nik Amin, isteri kepada Sultan Muhammad IV
      2) Tengku Zainab binti Tengku Zainal Abidin, isteri kepada Sultan Ibrahim
      3) Tengku Zainab binti Tengku Petra, isteri kepada Sultan Yahya Petra

      Sultan Muhammad IV merupakan ayah kepada Sultan Ibrahim, manakala Sultan Yahya Petra merupakan anak kepada Sultan Ibrahim. Dari datuk sehingga cucu, tiga generasi berturut-turut, berkahwin dan mentakhtakan isteri bernama "Zainab."

      Cuma confuse sikit yang mana satu Raja Perempuan Zainab (I) dan yang mana Sultanah Zainab.

      Umumnya, kalau bukan dilahirkan Tengku, apabila berkahwin dengan Raja yang memerintah, di Kelantan mereka akan ditakhtakan sebagai "Sultanah." Jadi kalau kita berpandukan "undang-undang" tidak rasmi tersebut, Wan Zainab adalah dinamakan Sultanah Zainab, manakala Tengku Zainab binti Zainal Abidin dinamakan Raja Perempuan Zainab (I) dan akhirnya Tengku Zainab binti Tengku Petra dinamakan Raja Perempuan Zainab (II).

      Saya rasa inilah yang sebenarnya. Mungkin org sudah konfius sbb tertukar dan tak cam yang mana adalah siapa.

      Delete
  2. Betul tu Megat. Nama Nik Zainab.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...