Anda Pengunjung Ke :

Saturday 31 January 2015

Bonda Permaisuri Melayu..





BONDA PERMAISURI MELAYU. Mungkin inilah gelaran yang sesuai diberikan kepada Almarhum Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Baginda yang bertakhta sebagai Tunku Ampuan Negeri Sembilan bermula pada tahun 1933 hingga 1960 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama bermula tahun 1957 hingga 1960 ini cukup sinonim dengan pembangunan wanita di negara kita. Walaupun baginda tidak lagi bertakhta sebagai Permaisuri selepas tahun 1960, namun baginda sering mengiringi para-para permaisuri dalam majlis-majlis berkaitan wanita dan kebajikan. Keaktifan baginda dalam bidang kebajikan bermula semenjak baginda muda lagi. Baginda sering muncul dalam majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh Raja-Raja Permaisuri Agong bermula tahun 1960 hingga 1990-an. 

Tidak hairanlah baginda sering mencemar duli walaupun tidak lagi bertakhta kerana baginda merupakan Yang Di Pertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), jawatan yang baginda pegang selama tiga dekad, sehingga akhir hayat baginda. Figura baginda sebagai seorang bonda dan nenda seringkali menarik hari rakyat jelata. Selayaknya baginda diiktiraf sebagai BONDA kepada Permaisuri yang pernah bertakhta di Malaysia. Keakraban hubungan baginda dengan Raja-Raja dan Permaisuri-Permaisuri diperlihatkan dengan keberangkatan baginda dalam istiadat rasmi negara sebagai jemputan khas kepada Raja-Raja.

Berikut merupakan gambar kenangan Tuanku Kurshiah mengiringi Permaisuri-Permaisuri dalam majlis-majlis rasmi :

 Tuanku Kurshiah bersama Tengku Ampuan Jemaah ketika lawatan baginda ke Istana Alam Shah sekitar penghujung tahun 1950-an. Tengku Ampuan Jemaah menjadi Raja Permaisuri Agong Kedua pada tahun 1960 dan mangkat pada tahun 1973. Selepas kemerdekaan, Tuanku Kurshiah dan Tengku Ampuan Jemaah merupakan antara permaisuri utama dalam negara ketika itu.

Tuanku Kurshiah bersama Tengku Budriah semasa mesyuarat LKPIM. Baginda berdua merupakan antara pengasas LKPIM dan aktif sehingga akhir hayat baginda berdua. Tengku Budriah menajdi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong  Ketiga pada tahun 1960-1965. Tengku Budriah menjadi Yang Di Pertua LKPIM setelah kemangkatan Tuanku Kurshiah pada tahun 1999. Tengku Budriah mangkat pada tahun 2008.

Tuanku Kurshiah menyampaikan titah dalam satu majlis di samping Tuanku Intan Zaharah sekitar tahun 1960-an. Tuanku Intan merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Keempat bermula tahun 1965 hingga 1970. Tuanku Intan kini berusia 86 tahun.

Tuanku Kurshiah bersama puteri sulung baginda Sultanah Bahiyah dan cucunda baginda Tunku Intan Shafinaz. Sultanah Bahiyah merupakan puteri sulung dari dua beradik kepada Tuanku Kurshiah dan Almarhum suami baginda. Sultanah Bahiyah menjadi Sultanah Kedah pada tahun 1959 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Kelima pada tahun 1970-1975. Sultanah Bahiyah amat rapat dengan bondanya. Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 akibat kanser.

Tuanku Kurshiah bersama Tengku Ampuan Afzan semasa berangkat ke Majlis Anugerah Ibu Mithali peringkat kebangsaan. Tengku Ampuan Afzan menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ketujuh pada 1979-1984.Tengku Ampuan Afzan mangkat pada tahun 1988 akibat kanser.

Tuanku Kurshiah bersama Sultanah Zanariah dalam suatu majlis sekitar tahun 1980-an. Ketika ini Tuanku Kurshiah sudah berusia lingkungan 70 tahun. Sultanah Zanariah menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Kelapan pada tahun 1984-1989. Tuanku Kurshiah sering dijemput menghadiri majlis rasmi yang dihadiri Sultanah Zanariah. Sultanah Zanariah kini berusia 75 tahun.


Tuanku Kurshiah bersama Tuanku Bainun ketika menyambut ulangtahun keputeraan ke 80 Tuanku Kurshiah pada tahun 1991. Tuanku Bainun bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 9 pada tahun 1989-1994. Tuanku Bainun kini berusia 82 tahun.

Tuanku Kurshiah bersama adinda baginda Tuanku Najihah semasa menyambut hari keputeraan baginda. Tuanku Najihah mengikut jejak langkah kekanda baginda apabila menjadi Raja Permaisuri Agong ke 10 pada tahun 1994-1999. Kini Tuanku Najihah berusia 90 tahun dan bersemayam di Negeri Sembilan.


Potret BONDA PERMAISURI MELAYU.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...