Anda Pengunjung Ke :

Monday 23 March 2015

Hari Kemahkotaan Sultan Johor dan Permaisuri Johor Darul Ta'zim


Setelah 55 tahun berlalu, Istana Besar Johor Bahru sekali kali menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Darul Ta'zim. Tanggal 23 Mac 2015 merupakan satu tarikh amat bersejarah apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimahkotakan sebagai Sultan Johor Moden ke 5 manakala isteri baginda Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor. Kali terakhir Istiadat kemahkotaan ini diadakan adalah pada 22 Februari 1960 dimana nenda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Almarhum Sultanah Aminah dimahkotakan sebagai Sultan dan Sultanah Johor. 

Istiadat bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke perkarangan Istana Besar pada pukul 9.35 pagi. Sultan Ibrahim memakai uniform rasmi berwarna biru gelap manakala Raja Zarith memakai baju kurung Johor warna sedondon. Baginda seterusnya menerima tabik hormat daripada Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum lagu Bangsa Johor dimainkan. Seterusnya baginda berdua menaiki Tangga Agong menuju ke dalam istana untuk persediaan kemahkotaan. 

Antara Raja-Raja Melayu yang berangkat menyaksikan Istiadat Kemahkotaan ialah Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Hajah Saleha, Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom. dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir, kesemua Yang Di Pertua Negeri beserta isteri masing-masing. Negeri Kedah diwakili oleh Yang Di Pertua Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Salehuddin dan isteri Tengku Puan Sri Dato' Seri Maliha Tengku Arif. Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan isteri Che Puan Khaleeda Bustamam, bonda Sultan Johor Enche Besar Khalsom Abdullah, paduka anakanda Sultan Johor serta kekanda dan adinda baginda. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datin Seri Rosmah Mansur dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Potret keluarga diraja Johor sempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor. Dari kiri, Tunku Putera Tunku Abu Bakar, Tunku Panglima Tunku Iman, Che Puan Khaleeda, Tunku Mahkota Tunku Ismail, Sultan Ibrahim, Permaisuri Zarith Sofiah, Tunku Temenggong Tunku Idris, Tunku Laksamana Tunku Jalil, Tunku Tun Aminah dan Enche Besar Khalsom.

Istiadat Kemahkotaan bermula apabila pasangan diraja yang memakai kain pelayang diraja diiringi menuju ke singgahsana Apabila baginda selamat bersemayam di atas takhta, Menteri Besar Johor Dato' Seri Khaled Nordin membacakan pemashuran istiadat kemahkotaan. Kemudiannya, Yang Di Pertua Jummah Majlis Diraja Johor memohon perkenan baginda berdua untuk dimahkotakan. Sultan Ibrahim memberikan titah diraja dan lafaz ikrar disusuli dengan bacaan ayat Al Quran Ayat 26 daripada Surah Ali Imran oleh Timbalan Mufti Johor Dato' Yahya Ahmad. 

Acara kemuncaknya berlangsung apabila Mufti Kerajaan Johor Dato' Tahrir Shamsuddin meletakkan Mahkota Kerajaan di atas jemala Sultan Ibrahim dan seterusnya meletakkan Mahkota Permaisuri di atas jemala Raja Zarith Sofiah diiringi selawat. Serentak dengan itu tembakan meriam 21 das kedengaran. Lagu Bangsa Johor dimainkan lalu doa selamat dibacakan oleh Dato' Yahya Ahmad. Seterusnya para anakanda baginda serta kerabat Menghadap Takzim diikuti oleh Menteri Besar dan isteri serta Yang Di Pertua Jumaah Majlis Diraja Johor.

Setelah acara di dalam istana selesai, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat keluar dari Bilik Singgahsana untuk ke Anjung Istana untuk menerima lintas hormat udara, Selesai lintas hormat udara, pasangan diraja menuruni Tangga Agong untuk acara perarakan diraja sekitar bandaraya Johor Bahru. Baginda berdua menaiki kenderaan rasmi iaitu kereta Mercedes-Benz 600 untuk perjalanan sejauh 7 kilometer dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene. Sepanjang perjalanan, baginda berdua melambai kepada rakyat jelata yang menunggu baginda ditepi jalan bagi meraikan kemahkotaan sultan mereka yang dicintai ini. Lebih kurang 40,000 rakyat Johor turut serta dalam istiadat ini. Istiadat Kemahkotaan ini disiarkan secara langsung di TV 1 bagi memudahkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan istiadat penuh bersejarah ini. 

DAULAT TUANKU!!! DAULAT TUANKU!!! DAULAT TUANKU!!!


Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Istana Besar.

Tetamu diraja yang berangkat ke Istiadat Kemahkotaan.


Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat menuju ke singgahsana.


Dari kanan : Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Raja Isteri Anak Saleha, Sultan Terengganu Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda, Tun Khalil Yaacob dan Toh Puan Zurina, Tun Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad, Tan Sri Muhyiddin dan Puan Sri Norainee, Enche Besar Khalsom Abdullah, Tunku Tun Aminah dan Tunku Jalil Sultan Ibrahuim.

Sultan Ibrahim menyampaikan titah diraja.

Mufti Johor Dato' Tahrir Shamsuddin meletakkan Mahkota Kerajaan di kepala DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Mufti Johor Dato' Tahrir Shamsuddin meletakkan Mahkota Permaisuri di atas kepala DYMM Permaisuri Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Sultan Ibrahim dan Permaisuri Zarith Sofiah mengaminkan doa setelah kedua-dua mahkota selamat diletakkan di atas jemala baginda berdua.

Pasangan diraja berangkat meninggalkan singgahsana dan menuju ke Tangga Agong setelah selamat dimahkotakan.

Sultan Ibrahim memberikan tabik hormat sejurus sahaja keluar dari pintu Istana Besar.

Sultan Ibrahim memimpin tangan Raja Zarith Sofia menuruni Tangga Agong.

Lambaian pasangan diraja kepada rakyat jelata yang setia menunggu kelibat sultan dan permaisuri kesayangan mereka.

Pasangan diraja menaiki kenderaan rasmi kemahkotaan untuk bersua dengan rakyat jelata sesudah istiadat kemahkotaan selesai,


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Sunday 22 March 2015

Ucapan Tahniah Sempena Kemahkotaan.


WARISAN PERMAISURI MELAYU

MERAFAK SEMBAH TAKZIM MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH
KEPADA


DULI YANG MAHA MULIA BAGINDA 
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Perak),D.K.(Kelantan),D.K.(Perlis),D.K.(Selangor),D.K.(Negeri Sembilan),D.K.(Terengganu),D.K.M.B.(Brunei),S.P.M.J.,S.S.I.J.,S.P.M.T.,S.M.N.,S.P.M.K.,S.P.M.P.,P.I.S.
SULTAN DAN YANG DI PERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM.

DAN

DULI YANG MAHA MULIA
TUANKU RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH,
D.K.,D.K.(Perak),S.P.M.J.,S.P.C.M.
PERMAISURI JOHOR DARUL TA'ZIM.

SEMPENA
HARI KEMAHKOTAAN DULI YANG MAHA MULIA SULTAN JOHOR DARUL TA'ZIM

PADA
23 MAC 2015 MASIHI BERSAMAAN 3 JAMADIL AKHIR 1436 HIJRIAH.

SEMOGA ALLAH S.W.T. MELANJUTKAN USIA DAN PEMERINTAHAN DULI YANG MAHA MULIA TUANKU.
DAULAT TUANKU !!! DAULAT TUANKU !!! DAULAT TUANKU !!!

SEMBAH TAKZIM DARIPADA,

Amirul Izwan Bin Lehuddin
Editor WARISAN PERMAISURI MELAYU
www.warisanpermaisuri.blogspot.com


Saturday 21 March 2015

Istiadat Siram Tabal Sultan Johor.


Istiadat Siram Tabal sempena Kemahkotaan Sultan Johor telah selamat disempurnakan petang tadi bermula pukul 3.30 petang. Istiadat ini diadakan di perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, Johor Bahru. Pasangan diraja Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah yang berpakaian warna sedondon naik ke paterana panca persada setinggi 9 tingkat untuk istiadat itu.

Istiadat Siram Tabal didahului oleh bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Johor Darul Ta'zim, Dato' Mohd Tahrir Shamsuddin. Bonda Sultan Johor, YAM Enche Besar Khalsom Abdullah menepung tawar kedua pasangan diraja itu. Turut hadir, kekanda Sultan Johor YAM Tengku Puan Panglima Tunku Kamariah Almarhum Sultan Iskandar dan adinda baginda Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar. Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, serta anakanda-anakanda Sultan Johor. 

Istiadat Siram Tabal ini diakan kira-kira satu setengah jam sehingga pukul 4.00 petang. Air dari 10 sungai dari 10 daerah di Johor digunakan untuk istiadat ini. Istiadat Siram Tabal ini merupakan simbolik pembersihan diri Sultan Johor sebelum dimahkotakan sebagai Sultan. Istiadat ini ditutup dengan bacaan doa oleh Mufti Dato' Tahrir Shamsuddin.




Friday 20 March 2015

Persiapan dan Raptai Sempena Kemahkotaan Sultan Johor.

Bersempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac ini, pelbagai persiapan telah dijalankan. Persiapan paling penting ialah raptai penuh Istiadat Kemahkotaan ini. Pada 17 Mac 2015, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah telah berkenan untuk menghadiri raptai penuh Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar Johor Bahru. Baginda berdua diiringi oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim. 

Kenderaan rasmi untuk Istiadat Kemahkotaan dilihat keluar dari Istana Bukit Serene melalui Jalan Wong Ah Fook, Jalan Trus dan bergerak ke Pantai Lido sehingga sampai ke Istana Besar Johor Bahru bagi menyempurnakan raptai perbarisan lintas hormat kepada baginda berdua. Setelah tiba di Istana Besar, baginda disambut oleh ketua-ketua jabatan kerajaan Negeri Johor. Selepas itu baginda berdua berangkat masuk ke Istana Besar untuk raptai upacara meletakkan mahkota. 

Upacara Siram Tabal akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 2015 yang merupakan salah satu acara penting dalam Istiadat Kemahkotaan ini.




Tuanku Zarith Sofiah memakai Mahkota Permaisuri sambil ditemani Sultan Ibrahim dan Tunku Abdul Rahman menuruni tangga Istana Besar.

Raptai pemakaian mahkota di balairong seri Istana Besar.


Sultan Ibrahim memeriksan pakaian rasmi baginda untuk Istiadat Kemahkotaan sambil disaksikan oleh tukang jahit baju itu, Datuk Jack M.K. Lee.


Sultan Ibrahim memeriksa keadaan di dalam balairong seri.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Tuesday 17 March 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Bermula.


Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor dibuka pada 16 Mac 2015 dengan Istiadat Meletak Kerja. Istiadat ini merupakan salah satu daripada sembilan istiadat yang berkaitan dengan Kemahkotaan Sultan Johor yang akan berlangsung pada 23 Mac ini. Istiadat ini merupakan simbolik bermulanya perjalanan Istiadat Kemahkotaan ini. 

Istiadat ini  dimulakan dengam upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar pada pukul 9.15 pagi, Isnin 16 Mac 2015. Upacara menaikkan bendera istiadat ini didahului dengan perarakan membawa masuk bendera berkenaan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti oleh bacaan doa oleh Mufti Johor Dato' Mohd Tahrir Shamsuddin. 


Istiadat ini diketuai oleh Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli. Turut hadir menyaksikan istiadat ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dato' Ismail Karim, ketua Polis Negeri Johor, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Sharif , barisan EXCO Negeri Johor serta para pegawai kerajaan negeri, 


Datuk Penghulu Istiadat mengishtiharkan bahawa bendera berkenaan akan dikibarkan bermula 16 Mac dan akan diturunkan pada tarikh 21 April 2015. Sejurus sahaja bendera dinaikkan, 7 das tembakan meriam kedengaran. Istiadat Kemahkotaan ini akan dibuat secara gilang gemilang memandangkan kali terakhir rakyat Johor menyaksikan Istiadat Kemahkotaan ini adalah pada tahun 1960. Generasi baru khususnya harus turut serta dalam istiadat ini untuk lebih mendalami susur galur adat istiadat diraja Johor yang diwarisi zaman berzaman. Kurang seminggu lagi upacara paling penting dalam sambutan kemahkotaan ini akan berlangsung. Semua pihak bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan lancar.

Saturday 14 March 2015

Permaisuri Berpendidikan Luar Negara.

Almarhum Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial University of Nottingham, United Kingdom.

Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun Binti Haji Mohamad Ali.
Sijil Perguruan daripada Teacher's Training College, Kirkby, Liverpool, United Kingdom.
Honorary Fellow of Liverpool John Moores University, United Kingdom.

Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.
Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Kejuruteraan Kimia University of Nottingham, United Kingdom.

Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.
London School of Oriental and African Studies, University of London, United Kingdom.

Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad.
Upper Chine School, Isle of Wight, United Kingdom.

Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Darul Ta'zim Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.
Cheltenham Ladies College, Gloucestershire, United Kingdom.
Davies College, London, United Kingdom.
Ijazah Sarjana Muda Sastera University of Oxford, United Kingdom.
Ijazah Sarjana Sastera University of Oxford, United Kingdom.

Almarhum Tengku Ampuan Hajah Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.
Cuckfield Park College, Sussex, United Kingdom.

Friday 13 March 2015

Singgahsana Kerajaan Johor Yang Baharu..

Istana Besar Johor Bahru menyaksikan pengubahsuaian istana itu untuk persiapan menjelang Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor ke 5 pada 23 Mac 2015. Singgahsana Istana Besar juga dilihat telah berubah wajah. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail telah berkenan untuk dimahkotakan apabila siap segala pengubahsuaian istana ini. Singgahsana baharu ini kelihatan lebih cantik dan mewah berbanding singgahsana sebelum ini yang agak ringkas hiasannya.

Singgahsana Kerajaan Johor yang lama.



Singgahsana Kerajaan Johor yang baru.
sumber : kemahkotaan.johor.gov.my

Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri Johor Darul Ta'zim..

Sempena dengan Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac ini, WARISAN PERMAISURI membawakan kisah MAHKOTA KERAJAAN NEGERI JOHOR dan MAHKOTA PERMAISURI JOHOR. Negeri Johor merupakan satu daripada empat negeri Melayu yang mempunyai mahkota. Mahkota ini biasanya digunakan untuk istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan seseorang Sultan. Mengikut sejarah, MAHKOTA KERAJAAN JOHOR ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. Mahkota ini dibuat oleh syarikat JW Benson, yang membuat barang kemas diraja British. Mahkota ini seberat 1.6 kilogram dan rekabentuknya bercirikan ketimuran dan dihiasi intan dan batu permata. Terdapat empat bulan bintang bercantum melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negeri Johor. Mahkota ini mengandungi 6 biji berlian besar, 3 biji batu delima merah, 4 batu zamrud besar, dan 4 biji batu nilam biru besar. Jumlah berlian kecil yang terdapat pada mahkota ini ialah 1450 biji. 


Mahkota Permaisuri (Diadem) digunakan untuk suri Sultan Johor. Dalam tahun 1925, Almarhum Sultan Ibrahim telah berkenan mengubah mahkota ini dengan mengadakan 5 biji berlian besar, setiap satunya 18 karat. Baginda juga menambah kepada regalia itu dengan seutas rantai yang mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara daripada emas putih bertatahkan berlian. 


Kali terakhir mahkota ini dilihat dipakai oleh Sultan Johor adalah semasa Kemahkotaan Sultan Ismail pada tahun 1960.

Sultanah Nora memakai Mahkota Permaisuri ketika dimahkotakan sebagai Sultanah Johor.

Wednesday 11 March 2015

Sultan Perak Buat Kali Pertama Pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.


Perbincangan di antara Sultan Perak, Yang Di Pertuan Agong, Raja Perlis dan Sultan Selangor.

Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bersama Sultan Perak.

Buat pertama kalinya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfur-lah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke 237 yang berlangsung di Istana Negara Jalan Duta pada 11 Mac 2015. Mesyuarat itu akan berakhir pada 12 Mac 2015. Berangkat sama, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Manakala Sultan Pahang, Sultan Terengganu, dan Sultan Kelantan menghantar wakil masing-masing. Sultan Johor tidak menghantar sebarang wakil. Kesemua Raja-Raja diiringi oleh Menteri Besar masing-masing.

Turut hadir, kesemua Yang Di Pertua Negeri serta Ketua Menteri masing-masing. Pada sebelah malamnya, majlis Santapan Malam sempena memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan di dewan banquet Istana Negara. Turut berangkat, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun serta para permaisuri serta isteri Yang Di Pertua Negeri.Turut hadir, Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri beserta isteri masing-masing.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara, Raja Perlis, Sultan Perak dan Yang Di Pertuan Agong semasa santapan malam.

Suasana di dewan banquet Istana Negara Jalan Duta.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...