Anda Pengunjung Ke :

Saturday 25 April 2015

3 Orang Raja Muda Musa.

Di dalam sejarah kesultanan Melayu, terdapat tigaa orang kerabat DiRaja yang mempunyai nama yang sama dan pangkat yang sama iaitu Raja Muda. Tiga orang individu yang dimaksudkan ialah Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Samad, Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz dan Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Safiuddin Muazzam Shah.

DYTM RAJA MUDA MUSA IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL SAMAD ( 1844 - 1884 ).

Duli Yang Teramat Mulia Raja Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Samad diputerakan pada tahun 1844. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Atfah Binti Almarhum Sultan Muhammad Shah. Pada 16 Mei 1875, ketika berusia 31 tahun, Raja Musa telah dilantik sebagai Yang Di Pertuan Muda Selangor oleh ayahanda baginda dengan gelaran Raja Muda Musa. Baginda telah berkahwin sebanyak dua kali. Pertamanya dengan Yang Mulia Raja Buntal Raimah Binti Raja Barkat dan keduanya dengan Che Rahimah. Baginda dikurniakan 4 putera dan 2 puteri. Raja Muda Musa mangkat pada 7 Julai 1884 di Kuala Langat,Selangor pada usia 40 tahun. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Jugra. Anakanda sulung baginda, Raja Sulaiman menaiki takhta negeri Selangor setelah kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 6 Februari 1898 dengan bergelar Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Baginda dikenali sebagai seorang yang alim dan tegas. Sebab itulah putera baginda, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah merupakan seorang sultan yang kuat agama dan memuliakan ulama.

DYTM RAJA MUDA MUSA IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL AZIZ, S.P.M.P.,P.J.K.,J.P.
( 1919 - 1983 ). 




Duli Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Musa Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz diputerakan pada 16 Jun 1919 di Istana Raja Muda, Teluk Anson, Perak. Baginda merupakan putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Al Mu'tasim Billah Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Khadijah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah. Baginda mendapat pendidikan awal di Malay and Anglo Chinese School, Teluk Anson dan kemudiannya di Clifford College, Kuala Kangsar. Dikurniakan gelaran Raja Kechil Bongsu pada 15 Oktober 1938 kemudiannya dinaikkan kepada Raja Kechil Muda pada 1 Januari 1940. Kemudiannya Raja Kechil Sulong pada tahun 1945 dan Raja Kechil Besar pada tahun 1953. Pada 30 Jun 1962, pada usia 43 tahun, baginda dilantik sebagai Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak. Setelah kemangkatan Sultan Yusuf Izzuddin pada tahun 1963, maka Raja Muda Raja Idris Shah menaiki takhta Perak. Maka, Raja Musa dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak pada 1 Mac 1963. 


Baginda pernah berkahwin sebanyak 5 kali. Pertamanya dengan Cik Puan Mariam Binti Abdullah, kemudian dengan YM Raja Zaleha Binti Raja Shahruddin, kali ketiga dengan Cik Puan Noraini Binti Abdullah, keempat dengan YAM Che Puan Besar Wan Rafidah Binti Dato' Wan Rasidi dan kelima dengan Cik Puan Hajah Hayati Binti Abdullah.  Baginda dikurniakan 10 putera dan 11 puteri. Putera sulung baginda, Raja Dato' Seri Ja'afar Ibni Raja Muda Musa kini bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak. Raja Muda Musa mangkat pada 12 Mei 1983 di London pada usia 64 tahun. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Al Ghufran,Kuala Kangsar. Jawatan Raja Muda Perak diisi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Azlan Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin.

DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA MUSA IBNI ALMARHUM SULTAN JA'AFAR SAFIUDDIN MUAZZAM SHAH.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa merupakan putera kedua Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Ja'afar Safiuddin Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Johan dan isteri keempat Sultan Ja'afar iaitu Che Alang Amas. Raja Musa dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda oleh kekandanya Sultan Abdullah Muhammad Shah pada 12 Januari 1899. Baginda berkahwin dengan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Che Aminah Binti Sheikh Muhammad Taib. Putera sulung baginda menjadi Sultan Perak pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Abdul Aziz Al Mu'tasim Billah Shah. Cucunda baginda mempunyai nama yang sama dengan baginda iaitu Raja Musa dan menjadi Raja Muda Perak pada tahun 1963.. Raja Muda Musa mangkat pada 12 Mac 1906.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...