Anda Pengunjung Ke :

Sunday 30 August 2015

Khas Sempena Kemerdekaan : Raja-Raja Melayu, Merdeka dan 31 Ogos 1957.


Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke 58 pada 31 Ogos 2015, marilah kita telusuri sedikit sebanyak kisah jasa dan sumbangan Raja-Raja Melayu dalam merintis kemerdekaan negara suatu masa dahulu. Tidak dapat dinafikan Raja-Raja Melayu sejak abad ke 19 lagi telah bersepakat untuk membebaskan bumi bertuah ini dari cengkaman penjajah British. Pakatan yang dibuat diantara Raja-Raja Melayu bermula apabila mesyuarat raja-raja yang dipanggil Durbar diadakan pada tahun 1987.

PERSIDANGAN DURBAR PERTAMA.


Persidangan Raja-raja Melayu atau Durbar yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak pada 13 hingga 17 Julai 1897 merupakan yang pertama kali diadakan. 

Raja-raja Melayu yang telah menghadiri sidang Durbar ini ialah DYMM Sultan Idris Shah (Perak), DYMM Sultan Abdul Samad (Selangor), DYMM Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan) dan DYMM Sultan Ahmad (Pahang). Durbar diadakan untuk memperlihatkan kepada Raja-raja Melayu tentang keadaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu di samping bertukar-tukar pendapat mengenai negeri masing-masing.

Sir Frank Swettenham, Pesuruhjaya Negeri-negeri Bersekutu telah mewakili kerajaan British dan bertindak sebagai Pengerusi. Beliau turut dibantu oleh beberapa orang pegawai tertinggi British termasuk Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Hugh Clifford (Residen Pahang), J.P Rodger (Residen Selangor) dan Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-negeri Selat). Berbagai perkara termasuk mengenai Agama Islam dan kepentingan orang-orang Melayu dibincangkan. Persidangan ini telah berjaya mendekatkan lagi hubungan antara Negeri-negeri dan menyedarkan mereka kepada kerjasama dan bersatu padu dalam perkara-perkara yang berkaitan kepentingan bersama. 


PENENTANGAN MALAYAN UNION 1946.


Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Sir Edward Gent menjadi Gabenor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union sangat hebat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh Raja-Raja Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh Raja-Raja Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. 

                                 

Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan Raja-Raja agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan antara pihak British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.

RUNDINGAN DAN PERJANJIAN KEMERDEKAAN.


Parti Perikatan berpakat dengan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu supaya bersatu dengan rakyat dalam rundingan untuk mencapai kemerdekaan . Raja-Raja Melayu terus terlibat dalam perundingan untuk mencapai kemerdekaan kerana sebelum itu mereka bertanggungjawab menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dengan pihak British.

Rundingan di antara Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil Majlis Raja-Raja mencapai kejayaan kerana Parti Perikatan memberi jaminan bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu tidak akan terjejas selepas merdeka. Pada bulan Januari 1956, rombongan Parti Perikatan yang kedua berlepas ke London untuk berbincang dengan kerajaan British mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Rombongan pada kali ini mewakili parti yang memerintah di Persekutuan Tanah Melayu dan harapan mereka untuk mencapai kejayaan adalah cerah.

                                    

Rundingan mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang berlangsung selama tiga minggu di London. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian London telah dimeteraikan oleh pihak Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan kerajaan British. Menurut perjanjian itu, Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada akhir bulan Ogos 1957.

PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN 31 OGOS 1957.

Dari kanan : Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Perak, Sultan Kelantan, Sultan Kedah, Sultan Pahang, dan Yang Di-Pertuan Agong.

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Tetamu-temamu kehormat berangkat didahului oleh  Lord Chancellor dari England. Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Munawir Ibni Tuanku Abdul Rahman merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memakaian pakaian uniform tentera baginda yang mewakili Sultan Johor, Sultan Perak, DYMM Sultan Yusuf Izzuddin (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu KDYMM Sultan Ismail Nasiruddin (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), KDYMM Sultan Kelantan Sultan Ibrahim (berpakaian emas pucat), KDYMM Sultan Kedah Sultan Badlishah (berpakaian biru dan perak) DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra (berpakaian emas), KDYMM Sultan Pahang Sultan Abu Bakar (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Dari kanan : Sultan Kedah, Sultan Pahang, Yang Di-Pertuan Agong, Sir MacGillivray, Wakil Ratu England, Sultan Selangor dan Raja Perlis menyaksikan Tunku Abdul Rahman melaungkan MERDEKA!! sebanyak 7 kali.

Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Ketua Menteri Persekutuan YTM Tunku Abdul Rahman Putra bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-Rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu  telah dinaikkan dengan iringan Lagu Negaraku  yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...