Anda Pengunjung Ke :

Monday 1 February 2016

YMM Che Puan Besar Kedah Tuanku Hajah Haminah.


Potret sebagai Raja Permaisuri Agong dan Sultanah Kedah.

WARISAN PERMAISURI MELAYU kali ini menampilkan seorang mantan Suri Negara yang tidak lagi bertakhta di atas takhta negeri. Baginda berasal dari golongan kebanyakan yang diangkat darjatnya menjadi seorang Permaisuri sebuah negeri seterusnya Permaisuri sebuah negara. Baginda yang dimaksudkan adalah 
Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah Darul Aman Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun, D.M.N., D.K., D.K.H., D.M.K., Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Grand Cordon of the Order of the Precious Crown(Japan).

YTM Che Puan Kedah Haminah dan KDYMM Sultan Kedah.

Tuanku Haminah merupakan Raja Permaisuri Agong keempat yang berasal dari golongan kebanyakan. Baginda amat bertuah apabila disunting seorang Sultan berjiwa rakyat pada usia yang cukup muda. Itulah tuah seorang yang dilahirkan sebagai Haminah Binti Hamidun.Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai Perak. Baginda merupakan anak keempat daripada 7 orang adik beradik kepada pangan Y.Bhg Encik Haji Hamidun Bin Taib dan Y.Bhg Puan Isma Binti Mohamad. Keluarga baginda berasal dari Bagan Serai dan baginda memang anak jati negeri Perak. Ayah baginda Hamidun Taib meninggal dunia pada 5 September 2009 pada usia 83 tahun manakala ibu baginda meninggal dunia sebelum sempat melihat baginda menaiki takhta negeri Kedah sebagai Sultanah. Isma Mohamad meninggal dunia pada 17 Ogos 2003. 

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Tuanku Haminah mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong,Bagan Serai dan seterusnya peringkat menengah di Sekolah Menengah Inggeris Bagan Serai.Baginda seorang penggemar sukan sewaktu zaman persekolahan. Baginda seorang pelari trek atau padang untuk sekolah baginda. Selain itu, baginda juga terlibat dalam Pasukan Pandu Puteri dan juga sukan bola jaring. Pada zaman persekolahan juga, Tuanku Haminah mempelajari bahasa Mandarin daripada rakan-rakan baginda yang berbangsa Cina. 

Tuanku Haminah mengaminkan doa.

Pada 25 Disember 1975, ketika berusia 22 tahun, baginda dipertemukan jodoh dengan KDYMM Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Ketika itu Sultan Abdul Halim berusia 48 tahun. Perbezaan usia sebanyak 26 tahun tidak menghalang baginda berdua untuk mendirikan rumah tangga. Tuanku Haminah merupakan isteri kedua Tuanku Sultan selepas KDYMM Sultanah Bahiyah. Selepas berkahwin, baginda menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia Che Puan Kedah Haminah Binti Hamidun. Baginda kerap mengiringi baginda Sultan menghadiri majlis-majlis di sekitar negeri Kedah. Namun, tidak banyak yang diketahui tentang baginda ketika itu walaupun baginda sering muncul di Majlis Rasmi Negeri Kedah. 

Baginda berdua berkongsi minat yang sama.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia hanya Tuhan yang tahu. Begitulah kisah hidup Tuanku Haminah. Setelah kemangkatan KDYMM Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 27 Ogos 2003, maka Tuanku Haminah yang ketika itu bergelar YTM Che Puan Kedah bakal ditabalkan sebagai Sultanah Kedah menggantikan Almarhum Sultanah Bahiyah. Menurut Tuanku Haminah, pada zaman remajanya, ibu baginda sering memanggil baginda dengan panggilan Permaisuri kerana baginda sering bangun lewat. Kerana masin mulut ibu baginda, Tuanku Haminah telah diangkat menjadi Permaisuri sebuah negeri. 

Pertabalan Sultanah Kedah. Sultan Abdul Halim memakaikan tiara dan menganugerahi D.K. kepada Sultanah Haminah,

Tarikh 9 Januari 2004, suatu Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah, Hajah Haminah Hamidun telah diadakan penuh adat istiadat di Balairong Seri Istana Anak Bukit Alor Star. Istiadat dimulakan dengan bacaan selawat dan paluan nobat mengiringi keberangkatan masuk Sultan Abdul Halim dan Che Puan Haminah.Seterusnya watikah pemashuran dibacakan oleh Menteri Besar Dato' Seri Syed Razak Syed Zain. Sultan Abdul Halim menyempurnakan istiadat Pertabalan itu dengan meletakkan tiara di jemala Tuanku Haminah. Kemudiannya, Tuanku Haminah dikurniakan dengan Darjah Kerabat (D.K.) Kedah. Seterusnya tembakan meriam sebanyak 21 das kedengaran dan istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato Sheikh Hasbullah Abdul Halim.

Baginda berdua di atas singgahsana Istana Negara Jalan Duta.

Sekali lagi, dengan takdir Allah, darjat Tuanku Haminah diangkat daripada seorang Permaisuri Negeri menjadi seorang Permaisuri Negara. Suami baginda telah dipilih untuk menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 dan ini merupakan kali kedua Sultan Abdul Halim menjawat jawatan ini. Serentak dengan itu, Tuanku Haminah bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun. Pertabalan baginda berdua diadakan di Balairong Seri Istana Negara Jalan Duta pada 11 April 2012. Baginda dikenali sebagai seorang permaisuri yang murah dengan senyuman dan sifat penyayang baginda amat diketahui rakyat jelata. Rakyat merasa bertuah apabila Seri Paduka berdua menaiki takhta kerajaan persekutuan.

Pasangan diraja yang menyukai sukan golf.

Selain terkenal dengan kelembutan seorang permaisuri, baginda terkenal sebagai seorang ahli sukan yang handal. Baginda suka bermain skuasy, badminton, tenis dan golf. Namun, minat Tuanku Haminah lebih kepada sukan golf. Baginda merupakan antara pemain wanita golf yang handal dalam negara. Baginda sering memenangi pertandingan golf dalam negeri Kedah antaranya pertandingan golf anjuran Kelab Diraja Kedah, anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah, dan Ladies of the Ladies Champion di The Mines. Baginda sering mengambil bahagian didalam pertandingan golf Tebuka Penang dan Terbuka Perak. Antara pertandingan yang amat bermakna buat baginda adalah pada tahun 1987 Pertandingan Gold Bapa Malaysia. Baginda merupakan juara pertandingan itu dan YTM Tunku Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada baginda. Bukan sahaja berminat dalam sukan, baginda juga merupakan seorang peminat muzik sejak zaman remaja lagi. Baginda belajar bermain organ pada tahun 1977 pada usia 24 tahun. Baginda seterusnya mengambil lesen untuk bermain organ pada tahun 1981. Baginda amat gemarkan fast muzik dan sentimental.

Potret selaku Canselor MSU.

Kerja-kerja kebajikan sudah sebati dalam diri Tuanku Haminah. Baginda seorang yang amat sayang kepada kanak-kanak terutama anak-anak yatim. Atas inisiatif baginda, Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) telah ditubuhkan. Baginda sering mencemar duli meraikan anak-anak yatim dan fakir miskin. Baginda amat berminat dalam memajukan taraf hidup wanita terutamanya ibu tunggal. Baginda merupakan Yang Di-Pertua Pandu Puteri Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Wanita Negeri Kedah, Pertubuhan Ibu Tunggal Kedah dan banyak lagi pertubuhan kabajikan yang dinaungi baginda. Dalam bidang pendidikan pula, baginda telah dilantik sebagai Canselor Management and Science University (MSU).

Sifat penyayang Tuanku Haminah terhadap kanak-kanak.

Selaku Raja Permaisuri Agong, baginda sering mengiringi suami baginda membuat lawatan negara ke negara luar. Disebabkan itu, baginda telah dikurniakan dengan dua darjah kebesaran daripada luar negara. Pertamanya, baginda telah dikurniakan dengan darjah kebesaran Dame Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao oleh Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej sempena lawatan baginda ke Thailand pada 2 September 2013. Dan keduanya, baginda dikurniakan dengan darjah kebesaran Jepun Dame Grand Cordon of the Order of the Precious Crown oleh Maharaja Jepun Maharaja Akihito yang diwakili oleh Putera Mahkota Jepun pada tahun 2013.

Gelagat bersahaja Tuanku berdua.

Episod sedih dalam hidup baginda adalah pada 11 September 2017 dimana suami tercinta KDYMM Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada usia 90 tahun. Pemergian Almarhum buat sahajah dirasai oleh baginda, malah seluruh rakyat Malaysia. Almarhum suami baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar. Selepas kemangkatan Almarhum, Tuanku Haminah menggunakan gelaran YMM Sultanah Hajah Haminah. Pada 21 Januari 2018, bersempena dengan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mengurniakan gelaran Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah kepada Tuanku Haminah. 

Sesungguhnya, sifat penyayang yang ditunjukkan oleh Tuanku Haminah perlu dicontohi oleh semua rakyat Malaysia. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibir baginda membuatkan semua yang melihat baginda merasa senang. Kehadiran baginda juga dinanti-nantikan sebagai penyeri majlis. Kadang-kadang, sikap bersahaja Tuanku Haminah membuat rakyat merasa selesa dengan baginda. Keprihatinan baginda dalam kebajikan rakyat juga amat disanjung tinggi. Kini, pada usia 67 tahun, Tuanku Haminah menetap di Istana Seri Pelangi, Alor Setar dan sering berangkat ke majlis rasmi dan tidak rasmi. Semoga Allah S.W.T. melanjutkan usia  Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun dan diberikan kesihatan yang baik. 

Tuanku Haminah memasak dan menyediakan makanan untuk anak-anak yatim.

Pasangan diraja yang bahagia.


Senyuman seorang permaisuri.

5 comments:

  1. Merafak Sembah Ucapan Takziah
    kepada DYMM Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun serta kerabat diraja kedah diatas kemangkatan DYMM Sultan Kedah, Almarhum Al-Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah.
    Al-Fatihah

    11 September 2017

    ReplyDelete
  2. YMM Tuanku Hajah Haminah ada cahaya mata tak bersama Almarhum sultan ?

    ReplyDelete
  3. Hajah haminah binti Haij hamidun

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...