Anda Pengunjung Ke :

Thursday 1 September 2016

1 September 1960 : Kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2.



Tarikh 1 September 1960 merupakan tarikh sedih bagi seluruh rakyat Persekutuan Tanah Melayu apabila Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah mangkat secara mengejut. Baginda mangkat pada hari pertabalan baginda. Baginda baru sahaja 5 bulan bergelar Yang Di-Pertuan Agong selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada April 1960. Baginda mangkat di Istana Tetamu, Kuala Lumpur. Baginda yang berusia 62 tahun telah dibawa ke Istana Negara untuk istiadat penghormatan terakhir. Sejurus tiba di Istana Negara, keranda yang berisi jenazah baginda disemayamkan di paterana khas setinggi 7 anak tangga. Darjah kebesaran serta alat kebesaran diraja juga diletakkan bersebelahan keranda Almarhum. Pemimpn dari dalam dan luar negara datang memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. Tidak lupa juga rakyat jelata yang sayangkan Almarhum. Selepas selesai istiadat penghormatan terakhir di Istana Negara, jenazah baginda dibawa berarak ke Jalan Raja Laut berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad. Raja-Raja Melayu, Sultan Brunei, Yang Di-Pertuan Negara Singapura, Gabenor-gabenor serta tetamu kehormat menuggu ketibaan jenazah Almarhum di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Sejurus selesai penghormatan terakhir di hadapan Dataran Merdeka, jenazah baginda dibawa ke Istana Kota, Klang untuk istiadat penghormatan. Baginda disemayamkan berhadapan singgahsana Istana Kota. Raja-Raja Melayu serta permaisuri sekali lagi berangkat memberikan penghormatan terakhir. Tidak lupa juga kerabat diraja Selangor serta rakyat jelata. Selepas itu jenazah baginda dibawa ke Masjid Diraja Klang untuk dimakamkan di Makam Diraja bersebalahan Masjid Diraja Klang. Istiadat pemakaman baginda diadakan pada 3 September 1960. Istiadat pemakaman baginda dihadiri oleh balu Almarhum, Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah, Raja-Raja dan Permaisuri Melayu, Pemangku Sultan Selangor Tengku Abdul Aziz, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak serta tetamu kenamaan lain. Hari ini, 1 September 2016, telah 56 tahun kemangkatan Almarhum. Al Fatihah buat Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. 

Istana Tetamu, Kuala Lumpur :

Jenazah baginda diusung menuruni tangga untuk dibawa ke Istana Negara.

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah serta Pemangku Sultan Selangor Tengku Abdul Aziz dan Tengku Rahimah mengiringi jenazah ke Istana Negara.

Jenazah dimasukkan ke ambulans untuk dibawa ke Istana Negara.

Istana Negara, Kuala Lumpur :

Jenazah Almarhum tiba di Istana Negara. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Tuanku Syed Putra, Tengku Abdul Aziz dan Tun Razak memeriksa meja yang diletakkan darjah kebesaran Almarhum.


Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Singapura Encik Lee Kuan Yew dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Tunku Abdul Rahman memberikan penghormatan terakhir di Istana Negara.

Yang Di-Pertuan Negara Singapura Tun Yusof Ishak dan isteri Toh Puan Noor Aishah memberikan penghormatan terakhir.

Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah membaca doa dihadapan keranda suami baginda sambil diiringi oleh Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah.

Tengku Ampuan Jemaah dipapah oleh Tuanku Puan Besar Kurshiah dan Dang Perwara Istana Negara Tunku Asiah. Turut kelihatan cucunda baginda Tengku Sulaiman.

Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Keranda Almarhum diarak dari Istana Negara menuju ke Jalan Raja Laut berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Raja-Raja Melayu yang terdiri daripada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra, Sultan Pahang Sultan Abu Bakar, Sultan Terengganu Sultan Ismail Nasiruddin, Sultan Perak Sultan Yussuf Izzuddin, Sultan Kelantan Sultan Yahya Petra, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim, Tunku Laksamana Negeri Sembilan Tunku Laksamana Nasir, dan Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddien bersama kenamaan lain menunggu jenazah Almarhum dihadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Jenazah Almarhum diarak di hadapan Dataran Merdeka.

Istana Kota, Klang :

Raja Permaisuri Agong Tengku Ampuan Jemaah ditemani Raja Puan Muda Selangor Tengku Rahimah bersama kerabat perempuan membaca doa di hadapan keranda Almarhum.

Alunan ayat suci Al-Quran menemani Almarhum yang ditempatkan di hadapan singgahsana Istana Kota.

Pemangku Sultan Selangor memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum ayahanda baginda.

Menteri Besar Selangor membacakan pengisytiharan kemangkatan Almarhum.

Dari kiri : Tengku Zainab, Tengku Ampuan Intan Zaharah, Tengku Rahimah, Tengku Budriah serta putera-putera Almarhum.

Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Kota. Tuanku Syed Putra, Sultan Ismail Nasiruddin, Sultan Yussuf Izzuddin, Sultan Abdul Halim, Sultan Yahya Petra, Tunku Laksamana Nasir, dan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Kerabat diraja Selangor mengiringi jenazah Almarhum.

Makam DiRaja Klang.

Perarakan jenazah Almarhum tiba di perkarangan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

Tengku Ampuan Jemaah dibantu oleh putera baginda Tengku Abdul Aziz menyiram air mawar di pusara suami baginda.

Pemangku Sultan Selangor Tengku Abdul Aziz Shah menyiram air mawar ke pusara Almarhum ayahanda baginda.

Raja-Raja Melayu terdiri darpada Tuanku Syed Putra, Sultan Ismail Nasiruddin, Sultan Abdul Halim, Sultan Yahya Petra, Sultan Omar Ali Saifuddien, menunggu ketibaan jenazah Almarhum di Makam Diraja bersebelahan Masjid Diraja Sultan Suleiman. Turut kelihatan Tengku Ampuan Intan Zaharah, Tengku Budriah dan puteri sulung Almarhum Tengku Raudzah (dua dari kiri).

Jenazah baginda dimasukkan ke dalam liang lahad untuk istiadat pemakaman.

sumber gambar : jabatan penerangan malaysia.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...