Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 13 December 2016

Istiadat Mengangkat Sumpah Agong Ke-15.






ISTANA NEGARA, JALAN DUTA, KUALA LUMPUR.


Pada hari ini, 13 Disember 2016 bersamaan 14 Rabiulawal 1438 Hijrah, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V telah melafazkan sumpah memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam satu istiadat yang diadakan di Balairong Seri Istana Negara Jalan Duta Kuala Lumpur. Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 bermula dengan keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Wakil Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri memasuki Balairong Seri Istana Negara. Istiadat ini merupakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke- 243 (Khas) Sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamamd V dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas ini dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj. Turut berangkat, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz, dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Sultan Kedah diwakili oleh YTM Tunku Temenggong Tunku Salehuddin Sultan Badlishah. Manakala, Sultan Pahang diwakili oleh KDYTM Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Sultan Kelantan diwakili oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Sultan Johor diwakili oleh YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim. Turut hadir TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan wakil Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Awang Asfia Awang Nasar.
 
Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Muhammad V, Tuanku Syed Sirajuddin dan Sultan Nazrin Shah.

Istiadat diteruskan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Baginda kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan dan kemudian menandatangani surat sumpah tersebut. Dua orang Raja yang menjadi saksi dalam istiadat itu ialah DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Surat sumpah jawatan kemudiannya ditandatangani oleh kedua orang Raja yang menjadi saksi. 

Datuk Seri Syed Danial kemudiannya menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada kepada Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Baginda kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan dan menandatanganinya. Tuanku Syed Sirajuddin dan Sultan Mizan kemudiannya menandatangani surat sumpah itu. Selesai istiadat tersebut, Datuk Seri Syed Danial memaklumkan bahawa mesyuarat itu ditangguhkan ke suatu masa yang ditetapkan kelak. 

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


Istiadat kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Menandatangani Perisytiharan Memegang Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya. Memulakan istiadat itu, YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Dato' Seri Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad V telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Sultan Muhammad V melafaz sumpah sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Sultan Nazrin Shah melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.

Raja-Raja Melayu berangkat masuk ke Balairong Seri. 

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...