Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 8 February 2017

Khas Sempena Keputeraan Tunku : Almarhum Tunku, Putera Berjiwa Emas.

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tarikh 8 Februari 1903 menyaksikan keputeraan seorang putera kepada Sultan Kedah Darul Aman yang diberi nama Tunku Abdul Rahman Putra. Pada hari ini, tanggal 8 Februari 2017 merupakan hari keputeraan Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra yang ke-114. Diputerakan di Istana Pelamin, Alor Star, Tunku Abdul Rahman merupakan putera ke-7 dan anakanda ke-20 kepada Sultan Kedah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Bonda beliau ialah Cik Menyelara, salah seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah diraja. Walaupun bergelar putera seorang Sultan, Tunku tidak terbuai dengan kemewahan dan kesenangan. Keprihatinan beliau akan nasib bangsa Melayu membezakan antara Tunku dan putera-putera raja yang lain. Beliau tidak hanya berdiam diri melihat negara dan bangsanya mundur dan menderita. 


Berbekalkan taraf pelajaran sebagai seorang lulusan Undang-undang daripada Inner Temple, England yang melayakkan beliau menjadi seorang peguam pada tahun 1949, Tunku memulakan kerjaya perundangan beliau sebagai Pegawai Undang-Undang di Alor Star. Sebenarnya, Tunku telah memulakan kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam seawal tahun 1931 lagi. Sewaktu berkhidmat di Kuala Lumpur pada tahun 1950, semangat nasionalisme untuk menentang penjajahan sedang menular dikalangan rakyat. Beliau yang menjadi Pengerusi UMNO Kedah pada tahun 1949 juga merasakan semangat nasionalisme ini. Presiden UMNO Dato'Onn Jaafar meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO pada tahun 1951 dan Tunku dilantik sebagai Presiden yang baru. Tunku berjanji akan memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Itulah fokus utama Tunku setelah dipilih sebagai pemimpin parti politik terbesar pada waktu itu. 


Kegigihan Tunku untuk melihat tanah air dan bangsanya merdeka dibuktikan dengan misi beliau ke London untuk berbincang dengan pihak British berkenaan kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku telah selamat sampai ke London pada 14 Januari 1956. Usaha Tunku menampakkan hasil apabila Perjanjian Kemerdekaan ditandatangani di Lancestor House, Londn pada 8 Februari 1956. Akhirnya, dengan diplomasi yang digunakan oleh Tunku, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kalimah"MERDEKA" yang diucapkan oleh Tunku bergema di segenap ruang Stadium Merdeka,Kuala Lumpur di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat jelata Persekutuan Tanah Melayu. Tunku diberi gelaran Bapa Kemerdekaan atas usaha dan penat lelah Tunku untuk memastikan Tanah Melayu bebas dari penjajahan British. Semangat nasionalisme yang tinggi dalam diri Tunku menjadikan beliau seorang pemimpin sejati. Sebagai seorang putera raja, beliau boleh hidup senang lenang tanpa memikirkan masalah rakyat jelata. Tetapi diatas semangat cintakan bangsa dan negara, beliau bangun untuk mempertahankan bangsa dan tanah air dan seterusnya berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Atas pengorbanan masa dan tenaga seorang insan bernama Tunku Abdul Rahman Putra, kita dapat mengecapi kemerdekaan selama 60 tahun pada tahun ini. 

Gaya seorang putera.

Sesudah mencapai kemerdekaan, Tunku dilantik sebagai Perdana Menteri Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Semakin berat tugas Tunku untuk mengemudi sebuah negara baru untuk dibawa ke persada antarabangsa. Tunku telah menetapkan dasar luar negara yang selari dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tunku mencadangkan penubuhan Persatuan Asia Tenggara(ASA) dan telah ditubuhkan secara rasmi pada Julai 1961 di Bangkok Thailand. Pertubuhan ini kemudiannya digantikan dengan pertubuhan yang lebih besar iaitu ASEAN pada tahun 1967. Dibawah pentadbiran Tunku, Malaysia merupakan ahli PBB, ASEAN, MAPHILINDO, WHO, UNESCO, dan juga OIC. Pertubuhan Negara-negara Islam(OIC) merupakan cetusan idea Tunku. Maka, apabila OIC ditubuhkan pada tahun 1969, Tunku dilantik sebagai Setiausaha Agong Pertama OIC. Tunku bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 1970 setelah 13 tahun menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia. 

Tunku sewaktu berusia pertengahan 80-an.

Putera berjiwa emas ini telah mangkat pada 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu, Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah dan meninggalkan jutaan rakyat Malaysia. Jenazah beliau diberi penghormatan terakhir di Parlimen sebelum dibawa pulang ke Alor Star Kedah. Didalam wasiat beliau yang terakhir, beliau menolak peruntukan kerajaan untuk mmakamkan beliau di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Sebaliknya beliau mahu dimakamkan di Makam Diraja Langgar,Alor Star bersama kaum kerabat beliau. Istiadat pemakaman Tunku diadakan pada 7 Disember 1990 dan beliau selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Star, Kedah.
Bersempena Hari Keputeraan ke 114 Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada hari ini, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada roh Almarhum Tunku. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat keatas roh Almarhum Tunku dan menempatkan rohnya bersama orang-orang beriman. 

Senyuman manis Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...