Anda Pengunjung Ke :

Monday 27 February 2017

Sambutan Negara Buat Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

KEBERANGKATAN TIBA YMM RAJA SALMAN ABDUL AZIZ AL-SAUD.


Yang Maha Mulia Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud tiba di Malaysia pada 26 Februari 2017 untuk lawatan rasmi selama 4 hari. Baginda yang juga merupakan Penjaga Dua Masjid Suci tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.30 pagi. Baginda berangkat menaiki pesawat rasmi baginda bersama kira-kira 600 kerabat diraja dan delegasi baginda. Keberangkatan tiba Raja Salman disambut oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein. Delegasi baginda termasuk para kerabat diraja, menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan. Terlihat kemewahan Raja Arab Saudi itu apabila baginda membawa eskalator khas untuk menuruni pesawat. Ini adalah kelaziman baginda untuk membawa segala jenis kelengkapan untuk keselesaan baginda apabila membuat lawatan rasmi. Kesemua kelengkapan ini dibawa oleh pesawat superjumbo Saudi Arabian Airlines. Selain itu baginda juga membawa 100 kenderaan mewah untuk kegunaan delegasi baginda. 


Raja Salman seterusnya membuat pemeriksaan kawalan kehormatan terhadap 24 orang pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Akmal Mazlan. Ini merupakan kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia selepas baginda menaiki takhta Arab Saudi pada 23 Januari 2015. Baginda menggantikan kekanda baginda, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud yang mangkat. Kunjungan baginda ke Malaysia adalah atas undangan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Baginda yang merupakan pemerintah ke 7 keturunan Al-Saud merupakan Raja Arab Saudi ketiga yang membuat lawatan ke Malaysia. Pertama kali Raja Arab Saudi melawat Malaysia adalah pada tahun 1970 oleh Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud. Kemudian pada tahun 2006, Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pula melawat Malaysia. 


SAMBUTAN NEGARA DI DATARAN PARLIMEN.


Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kemudian dibawa ke Parlimen untuk diberi Sambutan Negara dan untuk bertemu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Baginda dan rombongan tiba di Dataran Parlimen pada pukul 11.50 pagi dan disambut oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhamamd V. Istiadat Sambutan Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan oleh Pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Selesai lagu kebangsaan dimainkan, tembakan meriam 21 das menyusul. Raja Salman kemudiannya memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Azlan Shah Baharom. Selesai pemeriksaan kawalan kehormatan, Baginda serta rombongan kemudian diperkenalkan dengan anggota Jemaah Menteri dan wakil diplomat asing di Malaysia. Baginda serta rombongan akan berada selama 4 hari di Malaysia sehingga1 Mac dalam rangka lawatan baginda ke rantau Asia Tenggara. 

Sultan Muhammad V bersalaman dengan Raja Salman.


Raja Salman mengangkat tabik hormat ketika lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan.

Raja Salman memeriksa barisan kawalan kehormat.

Mengangkat tabik hormat kepada barisan kawalan kehormat.

Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang berusia 81 tahun.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...