Anda Pengunjung Ke :

Monday 24 April 2017

Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
Sultan Muhammad V
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V.

Tarikh 24 April 2017 menyaksikan satu lagi istiadat penuh bersejarah berlangsung. Seorang lagi Raja Melayu ditabalkan naik takhta kerajaan Persekutuan dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, 47 ditabalkan dengan penuh adat istiadat Melayu. Baginda merupakan Ketua Negara yang ke 15 mengisi jawatan ini. Tarikh 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438 Hijrah dipilih bersempena Hari Israk Mikraj.

Seri Paduka Sultan Muhammad V menerima tabik hormat.

Istiadat Pertabalan ini dimulakan dengan keberangkatan tiba dan ketibaan DYMM Raja-Raja dan DYMM Permaisuri-Permaisuri, DYTM Raja-Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda, TYT Yang Di-Pertua Negeri-Negeri serta YABhg Toh Puan-Toh Puan seawal jam 9 pagi lagi. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tiba di perkarangan Istana Negara Jalan Duta kira-kira jam 10 pagi. Setibanya baginda di perkarangan Istana Negara, baginda disambut oleh YAB Perdana Menteri serta YAB Timbalan Perdana Menteri. Seterusnya lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu DiRaja. Baginda seterusnya berkenan untuk memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan Utama Rejimen Askar Melayu DiRaja.


Memeriksa barisan kehormat.

Istiadat yang diadakan di Balairong Seri ini bermula dengan keberangkatan masuk  Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ke Balairung Seri dengan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D'Raja Kelantan yang mengalunkan lagu ''Raja Berangkat''. Keberangkatan masuk baginda didahului oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain diiringi oleh juruiring-juruiring baginda dan panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja. Seri Paduka kemudiannya bersemayam di Singgahsana di Balairung Seri itu untuk Istiadat Pertabalan.




Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian menghadap Sultan Muhammad V bagi memohon perkenaan untuk memulakan Istiadat Pertabalan itu yang kemudian membuat pengumuman bahawa istiadat itu dizahirkan selepas mendapat perkenan baginda. Sejurus selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela memohon perkenan baginda untuk membawa masuk naskah al-Quran dan baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri.

Menyampaikan titah diraja.

Kemudian, dengan iringan tiupan serunai dan paluan gendang lagu 'Seri Istana', Datuk Paduka Maharaja Lela diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz membawa masuk naskhah al-Quran dan Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan serta Warkah Ikrar yang dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara lain, diikuti Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob. Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disambut baginda lalu mencium naskhah suci itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kanan baginda.

Mengucup Al-Quran.

Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu. Ini diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu menghunus dan mengucupnya, simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum baginda menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda. Istiadat kemudian diteruskan dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mengucup keris panjang diraja.

Sebaik sahaja selesai ikrar dilafazkan, tiupan serunai dan paluan gendang dengan lagu ''Raja Bertabal'' dimainkan, diikuti laungan ''Daulat Tuanku'' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairung Seri. Sejurus selepas itu lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda sebagai mewakili kerajaan dan rakyat. Sultan Muhammad V kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat. Selepas itu, naskhah Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 selamat disempurnakan. Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi didendangkan dengan gemersik tiupan serunai berserta gema paluan gendang yang memainkan lagu ''Raja Berangkat'' bagi mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Membaca lafaz sumpah memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 orang. Berangkat ke istiadat ini adalah DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Nur Zahirah, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani, DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, YMM Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Fa-iz Petra, DYTM Pengiran Muda Mahkota Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, KDYTM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha, DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan YM Che Puan Khaleeda Bustamam.

Mengaminkan bacaan doa.


Turut hadir, TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Majimor Shariff, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan Zurina Kassim, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Norlidah, dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Ragad Kurdi, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan YABhg Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.




Keberangkatan pulang dari Balairong Seri.

Sunday 23 April 2017

Khas Sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV.


Tarikh esok 24 April2017 merupakan satu lagi tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia kerana seorang Ketua Negara yang baru bakal ditabalkan dalam satu istiadat yang penuh gilang gemilang. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Sultan Muhammad V bakal ditabalkan dalam satu istiadat yang hanya berlangsung sekali dalam tempoh lima tahun. Baginda merupakan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan Darul Naim. Sultan Muhammad V merupakan Raja Melayu ke 15 dipilih untuk mengisi jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ini. 

Sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut :

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.


Pendidikan tinggi di UK

Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan. Pada 13 September 2010 baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29. Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun. Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.


Bidang ketenteraan, persatuan

Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan. Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.


Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu :-

1. Persatuan Menembak Kelantan;
2. Yayasan Sultan Kelantan (YSK);
3. Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan
4. Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);
5. Persatuan Bulan Sabit Merah;
6. Persatuan Sukan Berkuda;
7. Persatuan Motor 4 x 4;
8. Persatuan Memanah

Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor - Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan - April 2011)., D.K. (Johor - 2011)., D.K. (Perak - Julai 2011)., D.K. (Perlis - Oktober 2011)., D.K. (Kedah - Mac 2012)., D.K.(Terengganu - November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017)


Peribadi baginda

Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas. Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan. Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan. Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.


Thursday 20 April 2017

Majlis Solat Hajat, Bacaan Yassin dan Doa Selamat Sempena Pertabalan.


 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira 7.30 malam pada Khamis, 20 April 2017 bagi majlis bacaan Yasin, solat hajat dan doa selamat sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April ini. .Turut berangkat Yang Maha Mulia  Pemangku Sultan Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hadir sama, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib disusuli solat hajat dan bacaan Yasin dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Kira-kira 4,000 umat Islam hadir bagi menyertai majlis berkenaan.Sultan Muhammad V dilihat memakai jubah putih berserta kopiah putih,pakaian lazim yang dipakai baginda apabila ke masjid. 

Mufti Wilayah Dato' Dr Zulkifli, YMM Tengku Dr Fa-iz Petra, KDYMM Sultan Muhammad V, YAB Dato' Seri Zahid Hamidi dan YB Dato' Asyraf Wajdi.


Baginda berkenan bersalaman dengan rakyat jelata.

Sunday 16 April 2017

Yang Di-Pertuan Agong Dimasyhur Canselor UiTM.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, 
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), D.K.(Perak), D.K.(Kedah), D.K.(Terengganu), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.
CANSELOR UiTM

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-5, pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-86 UiTM, hari ini. Istiadat ini diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC). Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Idris Jusoh. Sultan Muhammad V menitahkan UiTM terus berusaha untuk kekal menjadi sebuah institusi utama dalam menjaga kepentingan golongan Bumiputera.“Beta berasa amat gembira, kerana dapat bersama warga UiTM, ketika universiti sedang melangkah ke arah merealisasikan hasrat, untuk menjadi sebuah universiti unggul, bertaraf dunia menjelang 2020.“Hasrat ini perlu disokong dan diterjemahkan, agar ia menjadi kenyataan yang lebih relevan dan bermakna setelah UiTM melalui 60 tahun penubuhannya,” titah baginda.

Seri Paduka turut menzahirkan kesyukuran kerana berkesempatan menabur bakti kepada sebuah institusi pendidikan tinggi yang terbukti mempunyai sejarah perjuangan cukup panjang. “Perjuangan dan peranan yang telah dan sedang dilaksanakan UiTM dalam melakukan transformasi sosial amat menakjubkan.


“Beta berbangga dengan peranan besar yang dimainkan UiTM dalam melahirkan modal insan Bumiputera berkualiti, cemerlang dan terbilang. “Beta percaya, jika suatu bangsa ingin mengubah atau berhadapan dengan cabaran, mahu mengatasi cabaran dengan jayanya, maka aset yang paling penting adalah sumber manusia berilmu pengetahuan,” titah baginda. Yang di-Pertuan Agong bertitah, UiTM adalah peneraju utama kepada sumber modal insan Bumiputera yang menjadi momentum kepada perubahan taraf sosial dan ekonomi di Malaysia.

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di perkarangan Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM.

Sultan Muhammad V memeriksana barisan kehormatan.


Tuanku Canselor UiTM bergamba bersama Pro Canselor, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Naib Canselor UiTM, dan pengurusan tertinggi UiTM.

Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato' Seri Idris Jusoh menyampaikan watikah pemashyuran sebagai Canselor UiTM kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.


Tuanku Canselor UiTM menyampaikan titah diraja.


Tuanku Canselor UiTM mengaminkan doa.


Canselor UiTM ke 5 bersama pengurusan tertinggi UiTM didalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-87 di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Wednesday 5 April 2017

Potret Rasmi dan Tarikh Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-15.

POTRET RASMI SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-15.

Jabatan Penerangan Malaysia telah mengeluarkan potret rasmi KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Potret rasmi yang menunjukkan baginda memakai muskat dan tengkolok yang merupakan pakaian rasmi Yang-Di-Pertuan Agong.Baginda juga memakai pending diraja,keris pendek diraja dan memegang keris panjang diraja. 


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15
Sultan Muhammad V,
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.(Terengganu), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.

TARIKH PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-15.

Kerajaan telah mengumumkan tarikh pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 jatuh pada hari Isnin 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438 Hijrah. Istiadat gilang gemilang ini akan diadakan di Balairong Seri Istana Negara,Jalan Duta Kuala Lumpur. Istiadat yang diadakan buat kali ke 14 ini akan menabalkan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sebagai ketua negara Malaysia ke-15. Istiadat santapan negara sempena pertabalan akan diadakan pada sebelah malamnya. Berikutan hari pertabalan tersebut, 24 April diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara. Pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala bagi Sabah dan Sarawak kerajaan negeri yang berkenaan telah diminta mengambil tindakan mengikut undang undang negeri masing-masing. Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan berkata, turut akan diadakan majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat pada hari Khamis 20 April di Masjid Putra, Putrajaya. Manakala Pameran Raja Kita akan diadakan pada 2 Mei di Muzium Diraja atau Istana Negara Lama.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...